GPku
'going beyond expectation..

Loya & Muntah??..pregnant kot..

By Gpku

LOYA dan muntah adalah pengalaman yang biasa untuk mereka yang mengandung terutamanya mengandung untuk kali pertama.
Lazimnya, ia berlaku sebaik sahaja ujian air kencing menjadi positif dan mungkin akan reda pada minggu ke-20.Walaupun kejadian loya serta muntah ini tidaklah teruk tetapi sekiranya berterusan boleh memudaratkan. Sebagai wanita yang mengandung, sebaiknya berbincang dengan doktor untuk mendapat rawatan sewajarnya supaya proses mengandung dapat menjadi pengalaman yang indah.
Bila seseorg wanita mengandung, ia sekarang dalam pencapaian tertinggi fisiologi seseorang wanita. Sebagai seorang ibu mengandung, anda menjadi individu yang teristimewa dan lain dari sebelumnya. Mengandung juga bukanlah satu bentuk penyakit!Banyak perubahan berlaku pada diri seperti peningkatan hormon wanita estrogen dan progesteron yang juga berperanan dalam masalah loya serta muntah-muntah.
Bagi kebanyakan ibu-ibu mengandung, loya-loya serta muntah-muntah ini tidaklah memudaratkan dan tidak mengganggu kehidupan sosial.Bagaimanapun, sekiranya permasalahan ini keterlaluan, loya dan muntah ini akan dilabelkan sebagai Hyperemesis Gravidarum. Muntah dan loya yang keterlaluan akan menyebabkan berlakunya penurunan berat badan, kurangnya cecair badan dan mungkin juga fungsi hati terganggu serta membawa masalah kepada kehidupan seharian.Biasanya loya-loya serta muntah yang biasa tidaklah memudaratkan anda serta janin.Masalah akan berlaku hanya sekiranya anda mengalami Hyperemesis Gravidarum. Segeralah berjumpa dengan doktor untuk menerima bantuan sokongan serta perawatan yang sewajarnya.
Sehingga sekarang tidak ada cara untuk mengelakkan puan daripada mengalami loya-loya serta muntah, dan mungkin keterlaluan sekiranya dikatakan hanya dengan tidak mengandung boleh membantu.
Ada kajian yang mendapati multivitamin tertentu boleh membantu mengurangkan kesengsaraan ibu yang sedang mengandung.
Anda akan dinasihatkan supaya menyediakan buku nota kecil dan mencatatkan apa sahaja yang mencetuskan rasa loya serta muntah ini, kemudian digalakkan sekiranya berupaya mengelakkan pencetus tersebut.
Anda juga dinasihatkan supaya:
1. Cuba mengambil biskut-biskut tawar sebaik sahaja bila bangun dari tidur.
2. Mengelakkan makanan berlemak dan juga makanan yang berempah ratus.
3. Hidangan makanan juga diperbanyakkan dari tiga hidangan besar sehari menjadi lima atau enam hidangan sehari.
4. Elakkan bau-bauan yang mencetuskan loya-loya serta muntah puan.
5. Berehat secukupnya.
Ada juga mereka yang menerima rawatan alternatif seperti memakan halia, rawatan akupuntur P6, hipnosis dan sebagainya.
Mendapatkan rawatan doktor
Anda perlu perhatikan perkara-perkara berikut, dan sekiranya berlaku, segeralah berjumpa dengan doktor:
1. memuntahkan darah.
2. tidak boleh langsung minum atau makan tanpa mencetuskan loya-loya serta muntah yang teruk.
3. Jumlah air kencing menjadi sedikit dan warnanya bertambah gelap.
4. Apabila berdiri, rasa pening dan berkemungkinan rebah pengsan.
5. Degupan jantung dapat dirasai (palpitation) dan juga puan berdebar-debar.


Sekiranya ini berlaku, dinasihatkan supaya dimasukkan ke wad untuk rawatan selanjutnya.
Air kencing akan diuji untuk kehadiran bahan kimia 'keton', darah diambil untuk ujian-ujian kimia dan juga fungsi-fungsi organ seperti hati. Air gula dan juga air bergaram akan dimasukkan melalui sistem pembuluh vena. Vitamin seperti B6, doxylamine dan juga ubat-ubat anti loya dan muntah akan diberikan sebagai rawatan tambahan.
Jangan runsing, loya-loya dan muntah-muntah akan reda dengan peningkatan minggu kandungan, dan mungkin menjadi normal pada minggu ke 20.
 

0 comments so far.

Something to say?